PSS

PIAWAI 2 : KEMUDAHAN FIZIKAL

2.1 Rasional
PSS perlu dilengkapi dengan kemudahan fizikal yang sesuai dan kondusif bagi memastikan perkhidmatan yang berkesan dan menjadi tarikan kepada pengguna. Sebarang perancangan bagi meningkatkan kemudahan fizikal perlu mengambil kira pertambahan koleksi, perkhidmatan, pengguna dan personel.

2.2 Lokasi
Peranan PSS dalam pendidikan perlu digambarkan melalui kemudahan, perabot dan peralatan. PSS yang baru dirancang perlu mengambil kira fungsi, kemajuan teknologi terkini dan keperluan organisasi.
Perkara-perkara berikut perlu dipertimbangkan dan diambil kira semasa proses perancangan PSS baru atau PSS yang hendak diubah suai :
· Terletak di lokasi yang strategik
· Mudah diakses dan dikunjungi oleh semua golongan pengguna
· Mengambil kira faktor kebisingan
· Mempunyai pencahayaan yang sesuai dan mencukupi
· Mempunyai suhu bilik yang sesuai bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan memulihara koleksi
· Mempunyai rekabentuk PSS yang boleh menampung keperluan dan kegunaan golongan istimewa
· Mempunyai saiz yang sesuai untuk menempatkan koleksi bahan dan ruang
· Boleh diubahsuai untuk menampung pelbagai aktiviti dan perubahan dalam kurikulum dan teknologi

2.3 Ruang
Ruang yang diperlukan bergantung kepada jumlah koleksi, bilangan pengguna, personel, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan serta jumlah dan jenis perkhidmatan. (Rujuk Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Bangunan, Jawatankuasa Standard dan Kos Edisi Tahun 2008, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, halaman 26 – 29).
Ruang berikut perlu dipertimbangkan dan diambil kira semasa proses perancangan PSS baru atau PSS yang hendak diubah suai :

2.3.1 Jarak antara rak
Rak buku perlu mempunyai jarak lebih kurang 0.91 meter ( 3 kaki ).

2.3.2 Keperluan ruang
Ruang yang perlu disediakan adalah seperti berikut :
a. Ruang koleksi
Ruang yang mencukupi perlu disediakan untuk menempatkan koleksi bahan PSS. Penempatan koleksi perlu disesuaikan mengikut jenis bahan untuk memudahkan akses oleh pengguna dan personel.

b. Ruang perkhidmatan pengguna
Ruang yang mencukupi perlu disediakan untuk perkhidmatan yang berkesan dan selesa. Ruang yang dicadangkan bagi memastikan perkhidmatan yang berkesan adalah seperti berikut :
· Ruang kaunter perkhidmatan setempat
· Ruang untuk komputer serbaguna
· Ruang bacaan / rujukan
· Ruang membaca majalah / surat khabar
· Ruang karel
· Ruang untuk sistem sirkulasi layan diri
· Ruang / Bilik perbincangan
· Ruang / Bilik multimedia
· Ruang / Bilik Pusat Akses Kendiri
· Bilik kawalan komputer

c. Ruang umum
· Ruang legar / ruang masuk
· Ruang pameran
· Ruang pameran terbitan baru
· Kiosk maklumat
· Bagasi pengguna

d. Ruang / bilik kerja
Kerja pemprosesan teknikal seperti perolehan, pengkatalogan, pengindeksan, pemprosesan bahan dan pembaikan ringan

2.4 Persekitaran
2.4.1 Akustik
PSS perlu ditempatkan di lokasi yang jauh dari semua sumber bising luaran.
Peralatan PSS yang menghasilkan bunyi bising perlu ditempatkan di kawasan yang jauh dari ruang bacaan. Penggunaan bahan penyerap bunyi bising seperti karpet, siling dan dinding perlu dipertimbangkan terutama bagi bilik perbincangan/serbaguna, bilik audio visual.

2.4.2 Pencahayaan
PSS perlu disediakan dengan sistem pencahayaan lampu yang baik dan bersesuaian.

2.4.3 Pengudaraan
Peredaran udara, kawalan suhu dan kelembapan yang sesuai adalah perlu bagi pemeliharaan bahan, penyelenggaraan peralatan dan keselesaan pengguna.

2.4.4 Keselamatan
Keperluan keselamatan PSS adalah seperti berikut:
· Alat pemadam api yang sesuai dan berfungsi
· Arahan dan pelan laluan kecemasan perlu disedia dan dipamerkan
· Kit kecemasan yang lengkap
· Jeriji pada pintu dan tingkap

2.4.5 Kemudahan punca kuasa
PSS perlu disediakan dengan kemudahan punca kuasa yang mencukupi dan ditempatkan di kawasan yang sesuai dan selamat untuk peralatan elektronik.

2.4.6 Hiasan dalaman
PSS perlu menyediakan hiasan dalaman yang menarik, ceria dan selesa untuk merangsang pembelajaran. Susun atur perabot yang sesuai dan penggunaan skema warna serta hiasan bunga dan gambar yang menarik perlu diambil kira agar dapat mewujudkan suasana yang selesa dan kondusif.

2.4.7 Tunjuk arah
Tunjuk arah lokasi PSS perlu disediakan dengan jelas di seluruh kawasan sekolah.
PSS perlu menyediakan tunjuk arah yang sesuai dan menarik bagi setiap perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan termasuk di ruang kerja sebagai panduan kepada pengguna.

2.5 Susun atur
Susun atur keseluruhan PSS perlu mengambil kira keselesaan dan kemudahan pergerakan bahan dan pengguna. Susun atur peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) untuk pengguna perlu direka secara kreatif dengan mengambil kira penempatan komputer secara berkelompok / berpusat dan rangkaian komputer yang bersepadu.

2.6 Perabot dan peralatan
PSS perlu disediakan dengan perabot dan peralatan yang sesuai. Perabot dan peralatan asas yang diperlukan adalah seperti berikut:

2.6.1 Perabot
· Rak buku, majalah, bahan bukan buku
· Kaunter perkhidmatan
· Meja dan kerusi
· Karel
· Kabinet
· Troli
· Peralatan pameran

2.6.2 Peralatan
· Komputer, pencetak, pengimbas
· Mesin faks
· Mesin fotostat
· Alat pendingin hawa
· Televisyen
· Radio
· Pemain cakera padat
· Kamera
· Projektor LCD

2.7 Rangkaian
PSS adalah sebahagian daripada rangkaian maklumat global yang berfungsi sebagai pusat akses maklumat. Justeru, PSS perlu dirangkaikan melalui jaringan Local Area Network (LAN) dan Wide Area Network (WAN) supaya pengguna berpeluang mengakses dan mencapai maklumat tanpa sempadan masa dan tempat.